Monday, January 19, 2015

ISTANBUL TURKEY

Selat Bhosperous-berlatar belakang Black Sea
Atas Ferry Bhosperous

Hot Air Balloon, Cappadocia.
S
Cravan Transit on the way to Bolu

Perkarangan Masjid Sultan Yazid-Bursa


18 - 28 Oktober 2014

Melawat negara yang mashyur dengan sejarah kegemilangan Islam iaitu Kerajaan Othmaniah yang sangat digeruni suatu ketika dahulu tetapi jatuh merudum dengan kemunculan Kamal Attaturk yang memisahkan pentadbiran agama dan negara, Negara Turkey terkenal mashyur dengan Sultannya yang alim dan warak iaitu Sultan Muhammad Al Fatih semasa pemerintahan Othmaniah dan makam bersemadinya sahabat Nabi Muhammad SAW iaitu Abu Ayyub Al Ansari. Dimakam ini juga disemadikan seorang rakyat Malaysia iaitu seorang pelajar Ammar yang meninggal akibat kemalangan. 

Kami berpeluang menyeberangi Selat Bhosperous yang memisahkan antara Eropah dan Asia. Selat ini juga menghubungkan dua lautan iaitu Laut Hitam dan Laut Mediterenian.

NEW DELHI-AGRA-KASHMIR

Percutian kali ini sungguh menguji kesabaran kami. Tiket sudah ditempah dari KLIA ke New Delhi India. Ini adalah lawatan saya kali kedua ke India .Tujuannya adalah hendak membawa anak-anak berjalan dan langsung ke Kashmir. Pagi-pagi lagi kami empat beranak sudah dikaunter Check-in penerbangan MAS Kelas Biznes. Kami menyerahkan tiket dan passport untuk check-in tiba-tiba paramugari/teller di kaunter bertanya mana visa? Saya jawab tidak ada. Kalau tidak ada visa tak boleh terbanglah Encik katanya. Rupanya saya tidak perasan bahawa visa diperlukan. Saya ingat visa on arrival. Kami tak boleh boarding.

Dengan perasaan hampa dan kecewa kamipun balik dan uruskan visa di Kuala Lumpur. Malangnya visa hanya boleh dikeluarkan dalam masa tiga hari. Kami pulang semula ke Ipoh dengan rasa kecewa yang amat sangat. Pada 28-5-2013 kamipun berangkat ke New Delhi dengan urusan perjalanan dan jadual lawatan yang baru. Kami disambut oleh pemandu pelancong dengan sebuah kereta dan terus dibawa ke Hotel. Setelah bermalam di Hotel pagi2 lagi kami bertolak ke Agra untuk melawat Taj Mahal. Perjalannannya jauh, kami sampai di sana sudah malam. Hotel di sini lebih cantik dari di Delhi, kami tak makan di Hotel tapi dibawa ke Restoran Monggul untuk makan malam.

Tuesday, January 11, 2011

Jakarta Bandung

Satu perjalanan yang penuh dugaan dan kenangan. Sejak pagi hari pertama kami sudah diduga dengan pelbagai ujian. Awal pagi sudah di KLIA check in kat situ..tiba2 kami dimaklumkan bahawa nama kami tiada dalam senarai penerbangan...sebabnya kami belum bayar sepenuhnya. Lepas perkara itu diselesaikan..kami hanya boleh meneruskan penerbangan pada besok pagi..kami pun mencari tempat penginapan. Duduklah kami dekat homestay!!! Aku tumpang kat rumah anak saudara...ini pun ada cerita juga..tak palah perkara tu kecil saja.

Ujian seterusnya semua student kami tak dapat gunakan pasport kumpulan...lalu pagi2 lagi hari kedua kami terpaksa selesaikan passport antarabangsa mereka. Bayangkan 20 orang passport nak disiapkan sebelum penerbangan...akhirnya dapat diselesaikan. Malangnya seorang student terpaksa pulang kerana pasport antarabangsanya tinggal di Kuantan. Ibubapanya berusaha juga menghantar pasport tersebut malangnya tak sempat dengan flight. Baliklah dia dengan sedih dan pilu.

Kami naik kapalterbang dan sampai di -Soekarno Hatta Airport, Jakarta lebih kurang jam 10-11..pagi. Terus di bawa ke Bandung melewati Jakarta. Sampai di sana ok...semuanya letih. Keluar pula makan malam. Satu lagi cerita geli hati...ayam penyet 2 ketul sebesar burung puyuh di makan bersama 6-8 orang. Mana nak puas makan!!! Waduh...waduh!!!...bersambung.

Saturday, March 6, 2010

BERCUTI DI KUCHING

Bercuti ke Kuching tanpa Angah dan Fairooz. Angah tak sempat join kerana tak dapat pelepasan awal.

MELANCONG KE PHUKET BERKERETA


PENGALAMAN BERKERETA DARI IPOH KE PHUKET

Pada jam 2.30 petang tanggal 29 Disember 2009 saya bersama isteri dan 4 orang anak bertolak ke Alor Setar dan bermalam di kampung halaman. Esok pagi kami akan menyambung perjalanan ke Phuket melalui Bukit Kayu Hitam. Ini merupakan perjalanan berkereta buat kali pertama kami ke sana. Jarak Ipoh ke Phuket hampir 800km. Mulanya kami berhasrat untuk menaiki kapal terbang ke sana tetapi kami berpendapat elok juga berkereta kerana dapat melihat suasana di sepanjang perjalanan yang tidak boleh diperolehi melalui perjalanan udara.

Lebih kurang jam 10.30 pagi kami sudah berada di sempadan Bukit Kayu Hitam dan setelah selesai menguruskan semua dokumen perjalanan di kedua-dua check-point Malaysia dan Thailand kami pun mula bergerak. Dalam perancangan dua perkara utama selalu difikirkan iaitu makan dan tempat sembahyang. Pekan pertama yang dilalui ialah Dan Nok kemudian Sadao. Alhamdulillah dalam jarak tersebut kami sudah dapat melihat masjid.

Tidak lama kemudian kami telah melepasi bandar Hat Yai dan pada jam 11.30 pagi kami tiba di Phattalung. Rasanya masih terlalu awal untuk berhenti. Bandar berikutnya ialah Trang. Kami sampai di situ jam 12.45 tengahari dan singgah mengisi minyak kerana meter minyak sudah menunjukkan separuh. Kami meneruskan perjalanan menuju Krabi. Rasanya jarak inilah yang paling jauh. Jam 2.40 kami tiba di Pekan Sai Kao dan singgah makan di gerai Muslim di tepi jalan. Gaya dan penampilan orang di gerai ini seratus peratus macam orang Melayu kita. Kami agak terkejut mereka langsung tidak tahu sepatah harampun perkataan Melayu dan Inggeris. Saya terpaksa menggunakan bahasa isyarat untuk meminta nasi goreng. Mula saya seorang sahaja yang order. Bila dah siap dan merasai masakan tersebut semua anak saya order lagi. Rasanya memang sedap..siap dengan sambal belacan dan ulam. Gerainya sangat bersih dan tiada lalat!!!.Habis makan sayapun bayar. Tauke kedai tu hanya menunjukkan kalkulator..lebih kurang RM4.00 seorang. Lepas itu saya mengucapkan salam dan membalasnya dengan ucapan ”salamat” dan waalaikum salam untuk berpisah dengan kami. Sebelum itu saya sempat bertanya salah seorang pelanggan di gerai itu di manakah masjid. Dia menunjukkan dengan isyarat arah masjid.

Kami singgah solat di Masjid Kg SaiKao. Masjidnya dah agak uzur. Ramai orang di dalam Masjid ...lelaki dan perempuan yang nampak sibuk macam kenduri. Memang betul ..rupanya kenduri arwah. Dalam tertanya-tanya tentang situasi disitu kami di sapa oleh seorang jemaah. Alangkah terkejutnya beliau menyapa kami dalam bahasa Melayu. Lega rasanya tak tau nak cakap. Dia lah yang bagitau tentang kenduri arwah tu. Lepas solat saya bersembang dengan jemaah tu lagi. Rupanya dia pernah duduk di Perlis tetapi sekarang dah berkahwin dengan orang Siam. Sebelum berpisah saya sempat bergambar dengan mereka. Kami meneruskan perjalanan ke Krabi.

Tuesday, August 25, 2009

HARI KETIGA DI LONDON




Badan letih tuhan saja yang tahu. Malam ini kami akan ke London dengan bas Eurolines lagi. Kami bertolak jam lapan waktu Paris dari International Coach Station - Gallieni station. Badan yang terlalu letih tidak mengizinkan kami melihat-lihat disepanjang perjalanan lagipun keadaan yang gelap. Kesempatan ini kami ambil untuk melelapkan mata. Lebih kurang dua jam perjalanan kami pun sampai di Calais, France. Di sini adalah tempat checkpoint untuk masuk ke UK. Kami di interview seorang demi seorang. Ada seorang hamba Allah satu bas dengan kami gagal melepasi interview ini lalu disuruh balik semula ke Paris. Takut juga kami melihat situasi itu..tapi geng kami semua lepas tanpa apa-apa.



Bas membawa kami menaiki ferry. Disinilah kami mengambil kesempatan untuk membeli minyak wangi yang ditawarkan dengan harga istimewa. Hampir dua jam juga masa diambil untuk melintasi selat Inggeris ini. Selat di mana Datuk Malik Maidin mencipta rekod orang Malaysia pertama berjaya merentasinya. Kini kami sampai di Dover UK. Sepanjang perjalanan ke London kami semua tertidur dengan nyenyak sekali. Jam ditangan menunjukkan 6 pagi..kami dahpun sampai di Kota London iaitu di Victoria Bus Station. Selesai solat subuh kami ke Malaysian Hall di Bayswater Road dengan menaiki bas merah yang tersohor tu. Ooo…ini ke tempat orang-orang Malaysia melepaskan rindu!!..rindu pada nasi lemak dan semua jenis makanan kegemaran ada di sini hingga ke lepat pisang pun ada.

Monday, August 3, 2009

Perjalanan ke Paris












Setelah sehari suntuk kami menghayun kaki di Bandaraya Amsterdam, rasa letih mula terasa. Kami akan ke Paris malam nanti (19.3.2009). Kami telah mengambil keputusan akan menaiki bas Eurolines ke Paris. Lebih kurang jam 10.00mlm waktu Amsterdam kami bertolak ke Paris. Saat inilah kami semua melepaskan keletihan dibangku bas. Hanya sekali saya terjaga dari tidur dan rupanya kami sudah memasuki Belgium. Lepas itu tertidur lagi hinggalah ke Paris pada jam 6 pagi. Kami solat subuh di stesyen bas Eurolines Paris. Selesai solat saya dan Yus pergi mencari hotel untuk berehat. Malangnya hotel berdekatan semuanya penuh!! Kami menaiki tube ke tengah Paris dan akhirnya dapat juga kami berlabuh. Hotel tu dah lupa namanya. Tapi masa kami turun tube tadi tertulis Bir Hakeem stesyen...itulah lokasinya.

Setelah mandi kami brakefast dengan mee maggie yang diusung sejak dari KLIA lagi...Uhhh sedapnya tak usah cerita. Mee maggie ni masa di KL/Ipoh langsung tak teringin, rupanya bila di sini baru tahu betapa sedapnya resepi tempat sendiri. Lepas tu kami mulalah berjalan-jalan di Bandaraya Paris. Lokasi pertama di Sacre-Coeur dan di sekitarnya. Rupanya bangunan ini adalah Gereja lama yang unik. Di bina pada 1875 oleh Paul Abadie. Setelah menikmati keindahan di sekeliling kami menaiki tube lagi. Kami ke Arc de Triomphe ..binaan berupa pintu gerbang yang dibina oleh Napoleon pada tahun 1806 sebagai memperingati kamasukannya ke Paris.

Seterusnya dengan tube lagi dan yang paling istimewa kali ini ialah Eiffel Tower. Ohhh...ini ke rupanya. Terkenanglah kembali nostalgia lama sewaktu menonton filem Hindustan An Evening in Paris.....deco...deco...deco!!!!! an evening in paris!!!Cantiknya tempat ini. Bagi mereka yang baru kahwin saya cadangkan datanglah ke tempat ini.Tempat yang sangat romantik. Lihatlah gambar-gambar yang saya lampirkan...sungguh menakjubkan.